Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Monday, November 22, 2010

Tanaman Kenaf ~ Dewan Rakyat

SOALAN :
Dato' Paduka Abu Bakar bin Taib [Langkawi]
minta Menteri Perusahaan
Perladangan dan Komoditi menyatakan:-

(a) sejauh manakah Lembaga Kenaf Negara dapat membantu/kelayakan untuk penanaman tembakau beralih kepada penanaman kenaf; dan

(b) negeri-negeri manakah penumpuan diberi dan jumlah insentif yang diberikan kepada penanam.

JAWAPAN :
Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi I [Dato’ Hamzah bin Zainudin]:

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah berusaha membangunkan tanaman kenaf sejak tahun 2005. Pada mulanya, penanaman kenaf tertumpu kepada kawasan tanah beach ridges interspersed with swales atau tanah bris di Kelantan dan Terengganu. Walau bagaimanapun, kenaf kini dibangunkan di luar kawasan tanah bris iaitu di negeri Pahang.

Sehingga 15 September 2010, LKTN telah membangunkan tanaman kenaf seluas 1,692 hektar melibatkan 430 penanam. Daripada jumlah tersebut, seramai 169 penanam atau hampir 40% adalah terdiri daripada penanam atau bekas penanam tembakau. Menjelang Disember 2010, LKTN menyasarkan 2,210 hektar tanaman kenaf di seluruh negara iaitu di negeri Pahang 1,000 hektar, Terengganu 600 hektar, Kelantan 510 hektar, Perlis 50 hektar dan Kedah 50 hektar. Penanaman kenaf di negeri Perlis dan Kedah adalah bertujuan untuk menghasilkan benih memandangkan cuaca di kedua dua negeri tersebut sesuai untuk penghasilan benih kenaf.

Bagi menggalakkan penanaman kenaf, LKTN memberi insentif sebanyak RM3,500 sehektar semusim bagi menampung kos penanaman termasuk benih, baja, racun dan kemudahan jentera membajak serta menuai. Untuk makluman, tempoh kitaran penanaman (planting cycle) kenaf adalah di antara tiga hingga empat bulan. Hasil fiber kenaf yang dikeluarkan adalah dibekalkan kepada syarikat-syarikat pemprosesan produk kenaf bernilai tambah seperti kenaf fiber board, plaster siling, jaket kalis peluru dan komponen automotif.

SOALAN TAMBAHAN :

Dato' Paduka Abu Bakar bin Taib [Langkawi]:
Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan tahniah kepada kementerian yang telah melantik Yang Berhormat Arau sebagai pengerusi. Sejak beliau dilantik, Lembaga Kenaf telah berjalan dengan lancar dan amat membanggakan sekali.

Soalan saya ialah apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan bagi mempopularkan penggunaan kenaf di kalangan rakyat supaya pasaran kenaf bertambah dan sekali gus memberi pulangan yang lebih kepada peladang dan apakah masalah ataupun kekangan yang dihadapi oleh lembaga dan seterusnya berapakah hasil ataupun pulangan semusim atau setahun bagi production kenaf. Terima kasih.

JAWAPAN :

Dato' Hamzah bin Zainudin:
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Langkawi. Pertamanya, LKTN melalui beberapa cara bekerjasama juga dengan kementerian untuk mempopularkan tanaman kenaf ini di seluruh negara. Kita juga turun ke bawah dengan menjemput anak-anak daripada sekolah-sekolah dan juga daripada pengajian tinggi untuk kita memperkenalkan tanaman ini melalui ceramahceramah yang kita buat di seluruh negara.

Masalah yang kita hadapi sekarang ini adalah masalah di mana ramai daripada pengusaha-pengusaha masih lagi tidak mempunyai kepercayaan penuh bahawa tanaman kenaf ini boleh memberi hasil yang lumayan. Walau bagaimanapun, kita dengan melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau ini telah pun cuba untuk menentukan bahawa bantuan-bantuan kita berikan kepada penanam-penanam kenaf, maka ini akan memberikan sesuatu lagi yang boleh memberi keuntungan kepada mereka yang menanam pokok kenaf ini.

Sebagai contohnya, bagi tiap-tiap semusim jika satu hektar kalau kita anggarkan daripada pendapatan sepuluh tan satu hektar, kita merasakan mereka boleh mendapat pendapatan sebanyak satu musim iaitu empat bulan lebih kurang RM3,200 pada tiaptiap satu musim. Maka ini menunjukkan bahawa sekiranya mereka dapat menanam dua musim dalam setahun, mereka boleh mendapat hasil lebih kurang RM6,000 hingga RM7,000 satu hektar satu tahun. Terima kasih.

No comments: