Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Friday, November 20, 2009

Tender balak: Tiada amalan kronisme

ALOR SETAR 18 Nov. - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menafikan dakwaan bahawa kerajaan negeri mengamalkan 'kronisme' dalam pemberian tender terbuka kepada syarikat untuk menebang balak.

Azizan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau menjelaskan bahawa tuduhan di dalam sebuah blog bahawa kerajaan negeri serta pegawai kanan pejabat Menteri Besar campur tangan dalam proses pemberian tender itu adalah tidak berasas.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasat dakwaan yang keluar di dalam blog tersebut dan mendapati ia tidak benar.
"Apabila kita membuka tender untuk menebang balak, permohonan tersebut akan dibawa kepada Jawatankuasa Hasil Bumi untuk menentukan siapa yang layak memperoleh tender itu,"
ujarnya.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd. Rawi Abd. Hamid (BN-Ayer Hangat) berhubung dakwaan sebuah blog yang mengaitkan kerajaan negeri dengan amalan 'kronisme' dalam pemberian tender terbuka penebangan balak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Menjawab soalan Johari Abdullah (Pas-Kupang) mengenai jumlah hasil yang diperoleh melalui sistem tender terbuka itu Azizan menjelaskan, pendapatan melalui sistem tender terbuka itu meningkat.

"Sehingga kini terdapat 10 syarikat balak yang diberi lesen untuk menebang balak di kawasan yang berkeluasan 1,603 hektar di negeri ini.
"Bagi kawasan seluas satu hektar, jumlah yang diperoleh adalah RM16,000 hingga RM19,000 berbanding RM1,000 bagi satu hektar dengan menggunakan sistem terdahulu,"
katanya.

Jelas beliau, bagi 2009, kerajaan negeri telah memperuntukkan 2,340 hektar kawasan hutan untuk dijadikan sebagai kawasan pembalakan, namun hanya 1,603 hektar telah digunakan bagi tujuan tersebut.

"Kerajaan negeri juga telah menyediakan peruntukan sebanyak RM7 juta kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah untuk menanam semula kawasan hutan yang telah ditebang.
"Ini kerana balak yang ditebang perlu ditanam semula untuk membolehkan kawasan tersebut mengeluarkan semula hasil dalam tempoh jangka panjang,"
tambahnya.

Utusan

No comments: