Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Friday, October 30, 2009

Penduduk selesa rumah PPR dinaik taraf

KUAH - Penduduk di bawah skim Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Taman Dahlia, Kuah, di sini, kini selesa selepas projek menaik taraf kawasan perumahan itu selesai. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Mohd Som Nyak Sham berkata, sebanyak 20 blok yang mengandungi 420 unit rumah dicat dan dibaik pulih.
Menurutnya, pembaikan yang dilakukan adalah pada bumbung, surau, Tadika dan bilik mesyuarat Kawasan Rukun Tertangga (KRT) serta kawasan persekitaran termasuk longkang.

“Kami berasa gembira selepas menanti projek ini selesai dijalankan dalam tempoh enam bulan dan kini penduduk di sini boleh menggunakan semua kemudahan yang ada. “Saya nasihatkan penduduk supaya menghargai dan menjaga segala kemudahan yang telah diberikan oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Projek PPR di Kuah. Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Jabatan Perumahan Wilayah Utara Kedah/Perlis, Yusof Hassan; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Mansor Bahari dan Ketua Pemuda UMNO Langkawi, Norsaidi Nanyan.

Sementara itu, Yusof berkata, projek ini adalah sebahagian daripada peruntukan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi bagi Negeri Kedah. Menurutnya, sebanyak RM3.9 juta diperuntukkan menerusi pakej ini bagi kerja-kerja pelaksanaan penyelenggaraan projek. “Projek ini adalah bagi kesejahteraan rakyat, supaya mereka tidak tercicir dalam arus pembangunan negara,” katanya. Beliau berkata, bagi pelaksanaan projek PPR di Perlis, ia masih dalam proses penyerahan manakala di Kuah, ia merupakan satu-satunya projek tunggal di bawah kendalian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Mereka yang layak untuk mendapatkan rumah PPR ini adalah mereka yang memperoleh pendapatan bawah RM2,000 sebulan,” katanya. Beliau berkata, kerajaan masih meneruskan projek pembangunan berkenaan pada tahun depan bagi keselesaan penduduk mengikut peruntukan bajet 2010 yang dibentangkan minggu lalu.

Sinar harian

Anaklangkawi:-
Alhamdulillah.. Elokla.. Bantu mana yg mampu. Jgn jadi mcm ada sstgh org tu janji bila dapat negeri nak tolong tapi tak tolong.. Sampai siap kadang2 mengaku yg bantuan dapat tu pun sbb depa rekeman..

p/s: Ke arah sifar miskin tegar Langkawi..

No comments: